Sunday, September 29, 2013

Wahai jiwa, bangkitlah!

Jam hampir menunjukkan waktu tiga pagi. Terjaga sebentar aku daripada lelapan tidur. Aku bangun, melangkah beberapa tapak ke bilik air. Suis lampu dihidupkan. Wajahku dibasuh dan dilalukan air jernih yang deras mengalir.



Aku merenung wajahku ke dalam cermin. Lama.



Semakin ditenung, semakin dalam renungan mataku ke dalam cermin. Air mata jatuh. Andai kata, aku ialah salah seorang pahlawan X-man, pastinya watak 'Cyclop' adalah sandaran untuk ku. Mujur sahaja aku tidak punya kuasa, andaikata ada, hancur lebur cermin yang dibeli dari One Stop itu. 



Belakangan ini, terasa hati ini tersangat lemah. Sensitif. Ujian bertubi-tubi melanda. Kadang rasa tak mampu bertahan. Langkah kian perlahan. Air mata tidak tertahan. Mengalir deras tanpa kehendak tuan. Hati ini, terkadang terlalu memendam. Simpan segalanya  dalam diam. Bahkan hidup yang dahulunya ceria kian menjadi kelam. Mungkin jarang mencari ketenangan di sepertiga malam.



Andaikata, aku dibedah dan hatiku dikeluarkan kemudian dibiarkan. Dibiar di atas meja, diatas jalanraya, atas tanah. Sama sahaja, pastinya akan hancur. Sama ada hancur dimamah ulat atau sebaliknya. Tapi, inilah istimewanya hidup ini, Allah meletakkan hati di dada. Agar sentiasa dekat dan hampir dengan tuannya. Hadiah terindah daripada Tuhan buat hambaNya.



Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati. -Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.



Hati. Pastinya sukar untuk aku terangkan atau dalam erti kata lebih mudah, sukar untuk aku describe dan gambarkan apa yang terkandung dalam sini. Emosi, suka, duka, cinta, bahagia. Di situ terletak segalanya.



Belakangan ini, hati aku lemah. Sering sahaja biji-biji mutiara jatuh tanpa henti daripada kelopak mata ini. Dada pula, sakit. Terlalu sakit, sepertinya hati itu tertusuk-tusuk oleh panahan pedang yang panas dan tajam. Lalu, sewaktu air mata deras mengalir, hanya jari jemari kecil itu sahaja yang mengesatnya sendiri.  Kemudian, satu genggaman ditumbuk ke dada bagi melegakan betapa sakitnya hati itu.




Tidak tergambar.
Sungguh tidak.
Bahkan tiada yang memahami.



Hati ini lemah mungkin kerana terlalu lama dibiarkan. Dibiarkan terkurung disebuah sangkar yang ibaratnya seperti penjara yang gelap dan sunyi. Dibiarkan ditindas, diherdik, dicaci dan maki. Namun cuba bertahan, demi memegang prinsip Rasulullah. Walaupun diri ini dan cabaran ini tidak hebat seperti diri dan cabaran yang ditempuh Baginda.



Wahai jiwa, bangkitlah!







Selamat tinggal.
-23 Zulkaedah 1434HJ-

No comments:

Post a Comment